Saturday, January 9, 2010

Petua II - Ayam Pencen

Petua kedua melembutkan ayam pencen ialah dengan menggunakan akar pokok pandan. Daun pandan kebiasaannya digunakan sebagai ejen pewangi dalam pelbagai masakan. Selain daun pandan, bahagian akar pokok pandan ada juga manfaatnya. Ok lah untuk petua kedua, kak long titipkan disini untuk makluman semua. Harap dapat membantu.
Hasil yang bakal diperolehi adalah sama seperti menggunakan kulit nenas. Cuma masaalahnya, mungkin agak sukar mendapatkan akar pokok pandan. Di pasar atau pasaraya hanya menjual daun pandan sahaja. Apakata sekiranya anda berpeluang pulang ke kampung, bawa pulang sedikit akar pokok pandan untuk kegunaan anda (simpan dalam peti ais, keringpun tak mengapa. Ia masih boleh digunakan).
Untuk seekor atau dua ekor ayam, dapatkan sejumlah akar pandan dalam anggaran segenggam, dibasuh bersih dan ditoskan. Sekiranya akar pandan tersebut agak panjang, bolehlah dipotong anggaran 3-5 inci. Masukkan akar pandan ke dalam masakan selepas proses menumis atau ketika memasukkan ayam ke dalam bahan tumisan. Masaklah seperti biasa. Lebihkan sedikit santan atau air yang digunakan supaya ayam betul-betul empuk. Biar kuah menutupi keseluruhan daging ayam untuk memastikan keseluruhan isi ayam empuk. Jangan lupa keluarkan akar tersebut semasa menghidang juadah.
Berbalik kepada petua pertama menggunakan kulit nenas, jangan dibuang lebihan kulit nenas yang digunakan sebagai medium pemerapan ayam tersebut. Kita boleh menyimpan lebihan kulit nenas tersebut untuk digunakan dimasa akan datang.
Caranya adalah seperti berikut:
  1. Basuh bersih lebihan kulit nenas, kemudian potong kecil.
  2. Kisar halus kulit nenas tadi dengan sedikit air.
  3. Kemudian tuangkan jus kulit nenas ke dalam acuan ais atau bekas-bekas kecil (ikut suka).
  4. Bekukan dalam freezer.
  5. Apabila hendak digunakan, keluarkan 3-4 ketul dan gaulkan bersama daging ayam pencen atau daging lembu.
  6. Perapkan selama satu jam, kemudian cuci bersih, toskan dan sedia untuk dimasak.

2 comments:

  1. amboi..sume nye pasal melembutkan ayam ek..xde kerr petuan melembutkan hati org..hihih

    ReplyDelete
  2. hehe..macam2 petuerrhh ada..sabar ye. Dah ada menimbun koleksinya, tunggu nk publish je..maklum la org baru nk belajar. Emm...nk petua melembutkan hati org ye? Agak mencabar nih! Bukan mudah ye..sesuatu yang memerlukan usaha,masa & kesabaran. Thank u for your 1st comment.

    ReplyDelete