Saturday, January 9, 2010

Petua Melembutkan Ayam Pencen

Kepada penggemar ayam tua atau ayam pencen, pasti bersetuju bila kak long katakan yang keunikan rasa dagingnya lebih enak dari rasa ayam daging. Untuk menghasilkan hidangan ayam pencen yang lembut dagingnya, kak long ingin berkongsi petua yang sering diamalkan.

Petua yang pertama ialah menggunakan kulit nenas. Buah nenas mengandungi sejenis enzim bromelain yang berfungsi mengurai serat-serat daging ayam tersebut sehingga ia menjadi lebih empuk dan lembut. Kulit nenas mengandungi peratus enzim bromelain yang lebih tinggi berbanding isi nenas. Jadi kita gunakan kulit nenas untuk melembutkan daging ayam pencen, manakala isi nenas boleh dimakan sebagai pencuci mulut atau dijadikan satu jenis hidangan seperti pincuk nenas, yang sesuai dimakan dengan nasi disamping hidangan ayam pencen (seperti yang kak long selalu buat untuk hidangan hubby tersayang). Bagi suri-suri di luar sana yang tidak pernah cuba memasak hidangan ayam pencen, bolehlah jadikan ia sebagai hidangan pada hujung minggu ni.

Cara-caranya:
  1. Kupaskan buah nenas, kumpulkan kulitnya.
  2. Kulit tersebut kemudian dihiris selebar 1/2cm atau 1cm.
  3. Gaulkan bersama daging ayam pencen yang telah dibasuh bersih.
  4. Perapkan selama tidak kurang 1 jam sehingga air dari kulit nenas menyerap ke dalam isi daging ayam tersebut.
  5. Asingkan hirisan kulit nenas yang diperap bersama daging ayam tadi, dan bilas sekali lagi daging ayam tersebut. Toskan.
  6. Sedia untuk dimasak apa saja hidangan yang anda suka.

No comments:

Post a Comment